Thursday, July 17, 2014

Penyelia Jangan Bunuh Semangat Anak Buah



Entri kali ini lebih bersifat perkongsian nasihat psikologi berbanding tip teknikal seperti entri-entri lepas.

Perhatikan ayat ini yang saya petik daripada emel:
"sbb sy dh hantar kat supervisor and die cakap 'very bad manuscript ever!!'.. (stress)"

Apabila membaca emel seperti ini, rasa kasihan timbul dalam hati ini.

Saya fikir lebih baik sekiranya penyelia berkenaan mengungkapkan kata-kata yang memberi semangat untuk anak buahnya lebih berusaha (mencari editor juga satu bentuk usaha), dan bukannya membunuh semangatnya dengan mengatakan ungkapan seperti yang demikian.

Contoh ayat yang memberi semangat:
"Saya mahu awak usaha lagi."

Memulakan kata-kata dengan frasa "saya mahu" menunjukkan ketegasan penyelia.

Perhatikan pula ayat ini:

"Kalau boleh, usahalah lagi."

Frasa "kalau boleh" tidak menunjukkan ketegasan, dan anak buah lebih terbuka untuk tidak mengikut kata penyelianya.

Penyelia perlu tegas dan berani mengungkapkan apa yang dia mahu daripada anak buahnya.

Seterusnya, lebih baik penyelia tunjukkan antara usaha yang boleh anak buahnya lakukan.

Contohnya:
"Saya mahu awak usaha lagi. Cari editor yang boleh membantu awak."
"Saya mahu awak usaha lagi. Esok kita jumpa lagi. Saya tunjukkan bagaimana untuk memperbaik artikel itu."
"Saya mahu awak usaha lagi. Baca artikel jurnal dan teliti gaya bahasanya juga selain teliti kandungannya."

Penyelia perlu bijak menentukan sempadan pertolongan yang mereka boleh berikan kepada anak buah. Janganlah sampai tahap segalanya mahu disuapkan ke dalam mulut anak buah. Lemak la kalau begitu!

Apapun, sebagai editor, kadang kala saya perlu mengambil peranan menaikkan semula semangat klien. Hasil suntingan yang baik adalah antara motivasi yang boleh saya berikan kepada klien.

No comments:

Post a Comment