Wednesday, July 23, 2014

Tanda Dengan Comment Balloon, Bukan Highlight



Penulis tesis menggunakan bermacam-macam cara untuk merujuk semula bahagian yang mereka belum siap. Dengan kata mudah, mereka KIV-kan dahulu bahagian itu.

Ada yang mengubah warna font supaya berbeza daripada font hitam lain.
Ada yang mengubah saiz font.
Ada yang meletakkan warna cerah mahupun gelap (highlight).
Macam-macam lagi.

Namun bayangkan jika tesis itu ada 300 halaman. Mampukah untuk mencari satu persatu bahagian yang akan dirujuk semula itu?

Mahukah Tuan sekiranya saya tunjukkan cara untuk meng-KIV-kan bahagian tertentu dengan mudah?

Caranya, gunakan comment balloon.

Langkahnya:
  1. Buka dokumen tesis Tuan.
  2. Pergi ke halaman yang Tuan yang KIV-kan itu.
  3. Tanda pada tajuk/subtajuk/perenggan/ayat/perkataan yang Tuan mahu KIV-kan.
  4. Klik tab Review.
  5. Klik New Comment.
  6. Comment balloon (biasanya) akan muncul di sebelah kanan skrin (bergantung pada tetapan MS Word masing-masing).
  7. Letakkan kata-kata yang menunjukkan bahawa Tuan akan merujuk kembali bahagian berkenaan.
Bayangkan Tuan sudah siap menulis draf tetapi masih ada 10 bahagian yang Tuan KIV-kan sebelum ini.

Tuan tidak perlu seret dari halaman ke halaman untuk mencari 10 bahagian berkenaan satu persatu. Sebaliknya, Tuan hanya perlu ikuti langkah berikut:
  1. Buka dokumen tesis Tuan.
  2. Klik tab Review.
  3. Klik Next.
Menerusi langkah ini, Tuan akan terus dibawa ke halaman yang mengandungi bahagian KIV yang pertama. Untuk bahagian KIV yang seterusnya, klik sahaja Next, dan begitulah seterusnya.

Cadangan entri akan datang:
  1. Cara untuk memadam semua comment sekali gus.
  2. Tidak semestinya bermula dengan klik Next. Boleh sahaja bermula dengan Previous.

Thursday, July 17, 2014

Penyelia Jangan Bunuh Semangat Anak Buah



Entri kali ini lebih bersifat perkongsian nasihat psikologi berbanding tip teknikal seperti entri-entri lepas.

Perhatikan ayat ini yang saya petik daripada emel:
"sbb sy dh hantar kat supervisor and die cakap 'very bad manuscript ever!!'.. (stress)"

Apabila membaca emel seperti ini, rasa kasihan timbul dalam hati ini.

Saya fikir lebih baik sekiranya penyelia berkenaan mengungkapkan kata-kata yang memberi semangat untuk anak buahnya lebih berusaha (mencari editor juga satu bentuk usaha), dan bukannya membunuh semangatnya dengan mengatakan ungkapan seperti yang demikian.

Contoh ayat yang memberi semangat:
"Saya mahu awak usaha lagi."

Memulakan kata-kata dengan frasa "saya mahu" menunjukkan ketegasan penyelia.

Perhatikan pula ayat ini:

"Kalau boleh, usahalah lagi."

Frasa "kalau boleh" tidak menunjukkan ketegasan, dan anak buah lebih terbuka untuk tidak mengikut kata penyelianya.

Penyelia perlu tegas dan berani mengungkapkan apa yang dia mahu daripada anak buahnya.

Seterusnya, lebih baik penyelia tunjukkan antara usaha yang boleh anak buahnya lakukan.

Contohnya:
"Saya mahu awak usaha lagi. Cari editor yang boleh membantu awak."
"Saya mahu awak usaha lagi. Esok kita jumpa lagi. Saya tunjukkan bagaimana untuk memperbaik artikel itu."
"Saya mahu awak usaha lagi. Baca artikel jurnal dan teliti gaya bahasanya juga selain teliti kandungannya."

Penyelia perlu bijak menentukan sempadan pertolongan yang mereka boleh berikan kepada anak buah. Janganlah sampai tahap segalanya mahu disuapkan ke dalam mulut anak buah. Lemak la kalau begitu!

Apapun, sebagai editor, kadang kala saya perlu mengambil peranan menaikkan semula semangat klien. Hasil suntingan yang baik adalah antara motivasi yang boleh saya berikan kepada klien.

Wednesday, July 16, 2014

Contoh Emel yang Membuat Editor Tersenyum I

Menurut klien:

Alhamdulillah. Terima kasih atas doa tuan.

Sy juga berdoa semoga kita sama-sama beroleh LailatulQadar, dimudahkan urusan, rezeki yang luas, dirahmati lagi diberkati dalam segala urusan.

Terima kasih

Sunday, July 13, 2014

Percent atau Per Cent

Hasil carian daripada dua kamus dalam talian, kedua-duanya menyatakan seperti yang berikut:

percent (tiada jarak) jika mengikut ejaan US English.

per cent (ada jarak) jika mengikut ejaan UK English.

Tiada perbezaan maksud pada kedua-dua ejaan percent mahupun per cent. Pilihan ejaan mana satu yang menjadi pilihan kalbu, menurut Grammarist, adalah atas dasar mana satu yang kita lebih suka.

Saya pula lebih suka menyatakan seperti yang berikut: Tentukan sama ada dokumen itu menggunakan UK English atau US English, oleh itu kita sudah tahu mana satu ejaan yang sepatutnya kita gunakan.

Jika US English, jadi gunakanlah percent.

Jika UK English, jadi gunakan per cent.

Kemudian, tidak kurang pentingnya, tekalkanlah penggunaan ejaan berkenaan dalam seluruh dokumen.

Contohnya, jika dokumen itu ditulis dalam UK English, dan terdapat perkataan percent, ikuti langkah ini untuk mengubahnya sekali gus:

  1. Tekan Ctrl + F pada papan kekunci.
  2. Pilih tab Replace.
  3. Masukkan percent ke dalam ruang Find what.
  4. Masukkan per cent ke dalam ruang Replace with.
  5. Tekan butang Replace All.


Rujukan:
http://www.ldoceonline.com/dictionary/percent_2
http://www.oxforddictionaries.com/us/definition/american_english/percent
http://grammarist.com/spelling/percent-per-cent/

Saturday, July 12, 2014

one of the [plural]

Salah satu kesilapan lazim dalam kalangan penulis artikel akademik adalah pada penggunaan "one of the".

Sepatutnya, selepas frasa itu, ia perlu diikuti oleh noun atau phrasal noun yang plural.

Contoh:

one of the students

one of the successful companies

Editor amat sensitif apabila terjumpa frasa "one of the". Sebaik terjumpa, editor akan pastikan noun seterusnya mestilah plural.

Mengapa perlu plural?

Apabila kita menyebut "one of the", kita berkata tentang satu daripada bahagian yang banyak. Apabila banyak, sudah tentulah noun-nya perlu plural.

Hal ini tidak seperti dalam BM yang tidak mementingkan kejamakan sesuatu kata nama apabila kita berkata tentang satu daripada bahagian yang banyak.

Contoh:

salah satu perkara (perhatikan one of the things...)

salah seorang pemimpin (perhatikan one of the leaders)

Kita tidak sebut seperti yang berikut dalam BM:

salah satu perkara-perkara

salah seorang pemimpin-pemimpin

Apabila kita sebut salah satu atau salah seorang, pembaca BM sudah pun tahu bahawa penulis berkata tentang lebih daripada satu atau seorang.

Itulah beza antara BI dan BM

Thursday, July 10, 2014

Letakkan Tajuk Emel dengan Betul

Ada kalanya saya memperoleh emel yang diletakkan "Assalamualaikum" atau "Salam" sebagai tajuk emel.

Biasanya emel seperti ini saya anggap sebagai spam, kerana memang itulah antara ciri-ciri emel spam yang terlepas tapisan spam.

Namun, mujur paparan emel menunjukkan petikan awal kandungan emel. Bolehlah saya tahu bahawa emel itu bukan emel spam.

Rupa-rupanya penghantar emel mahu mendapatkan khidmat daripada saya.

Bukankah mudah untuk memberi tajuk emel seperti berikut:

proofreading

minta khidmat

tolong semak

Namun saya lebih gemar dengan klien yang rajin menulis tajuk emel dengan lebih kemas, seperti berikut:

Mahu Mendapatkan Khidmat Penyuntingan

Sebut Harga Khidmat Penyuntingan

Bantuan Proofreading untuk Artikel Jurnal

Urgent Perlu Semak Segera

Cadangan untuk entri akan datang:

  1. Serlahkan imej diri melalui emel.
  2. Kepentingan meletakkan signature dalam emel.